Archive for the ‘Team’ category

Keberangkatan pulang

September 10, 2009

20070108035632_ramadhan

20 Ramadhan 1430, 20 September 2009, Khamis

Bismillahirrahmanirrahim~

Kalender di dinding dibelek-belek. Hati terasa berat dan dada terasa sesak.

Masih banyak yang belum terlunas, ada lagi yang belum tercapai.

Ada manusia yang termenung, ada yang pantas melangkah memenuhi penghujung bulan mulia.

Kala ini, ada yang keliru, apa lagi yang boleh kuperbuat? Ramadhan bakal berakhir, ini sahaja yang boleh aku lakukan…

Bertenang wahai sahabat, mari kita duduk sebentar dan merenung, dengan mengambil kata-kata sahabat, Mu’az bin Jabal  :

Mu'az bin Jabal‘Marilah kita duduk untuk beriman sejenak.’

Hayati keindahan musim bunga yang tiba. Dengarkan kicauan unggas menyambut kedatangan siang. Renungkan betapa hebatnya kejadian ciptaan Tuhan Pemilik sekalian alam.

Lihat tangan pemberian Allah buat sahabat-sahabat. Teliti kejadiannya, kemudian, letakkan telapak tangan itu di dada.

Dapatkah sahabat merasakan degupan jantung yang setia berdegup dengan tiap sedutan nafas kita? Jika tidak , dengarkan degupan itu dengan stetoskop, dan hargai tiap pinjaman pemberian Tuhan. Fikirkan kemungkinan pengakhiran kita, tatkala nyawa itu direntap pada waktu yang kita tidak akan tahu.

Adakah terdetik di hati sahabat-sahabat, mengapakah kata ‘pinjaman’ digandingkan dengan ‘pemberian’?   Jika sahabat-sahabat peduli, gunakanlah akal pemberian Tuhan untuk menghurai pernyataan di atas.

Begitu juga Ramadhan. Datangnya sekejap cuma, maka marilah kita mengisi kehadirannya mengikut sunnah kekasih yang mulia.

1) Bangun malam untuk beribadah.

10 malam terakhir

“Rasulullah S.A.W ketika memasuki 10 hari terakahir menghidupkan malam harinya, membangunkan keluarganya dan mengencangkan ikatan pinggangnya.”  (HR Bukhari dan Muslim)

Mahukah kita menjadi golongan manusia yang disebut Allah di dalam kitab-Nya yang mulia?

“Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam. Dan pada akhir malam mereka memohon ampunan (kepada Allah)”

(Az-Zariyat 51 ; 17-18)

Marilah kita melatih diri kita untuk bangun malam, menghidupkan malam-malam terakhir dengan tahajjud kepada Allah, Tuhan pencipta alam dan pemegang nyawa kita.

Sesungguhnya solat malam itu lebih mendekatkan diri kita kepada Allah, lebih tepat bacaan kita, menghapuskan dosa-dosa dan menghalang kita daripada melakukan maksiat dengan syarat hati kita benar-benar mengharap ampunan dan redha-Nya.

Sabda Rasulullah S.A.W :

‘Sesungguhnya solat yang disukai oleh Allah ialah solat nabi Daud. Baginda akan tidur sebahagian dari malam, solat satu pertiga malam dan tidur satu perenamnya.’

(Muttafaqun a’laih : HR Bukhari dan Muslim)

‘Dari Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah S.A.W bersabda : ‘ Siapa yang menegakkan salat di bulan ramadhan kerana iman dan ikhlas, diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu.’

(HR Bukhari)

september-09-ramadan-sep-nocal-1280x960

2) Mencari lailatul Qadar.

‘Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.’

(Al-Qadr 97 : 1-5)

Sahabat sekalian, marilah kita menghitung, telah berapa lamakah kita hidup di dunia ini?

Katakan kita berumur genap 23 tahun.

Ini bermaksud 23 x 12 =  telah 276 bulan kita telah bernafas di bumi ini.

1000 bulan = 83 tahun. Yakinkah kita akan hidup sehingga usia kita menjangkau 83?

Lalu Tuhan yang Maha Agung telah menganugerahkan kita dengan satu bulan yang dalamnya diberikan satu hari yang lebih baik daripada 1000 bulan. Amalan kita pada malam itu, umpama kita telah beramal dalam seribu bulan.

Sabda Rasul S.A.W :

‘Carilah di sepuluh terakhir bulan Ramadhan, dan carilah pada hari kesembilan, ketujuh dan kelima. Saya berkata : wahai  Abu Said, engkau lebih tahu tentang bilangan.’ Abu Said berkata : ‘Betul’ . ‘Apa yang dimaksud dengan hari ke-9, ke-7 dan ke-5.” Berkata : ‘ Jika  sudah lewat 21 hari ,maka yang kurang 9 hari, jika sudah 23 kurang 7 dan jika sudah lewat 5 yang kurang 5″.

(HR Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Baihaqi)

Namun, pesan seorang saudara, untuk bertemu dengan malam mulia itu, maka seharusnyalah kita bersedia dengan lebih awal. Hati telah dipenuhi dengan kecintaan kepada Tuhan, jiwa itu penuh mengharap redha Ilah serta sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan hari yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Sungguhpun begitu, jika kita masih bernafas, masih belum terlambat untuk kita mengisi hari-hari terakhir Ramadhan 1430 hijrah.

Apabila kita mendapatkannya, Rasulullah S.A.W mengajarkan kita doa :

3‘Ya Allah, Engkau Maha Pengampun, Engkau cintakan keampunan, maka ampunilah diriku’

3) Teruskan dengan aktiviti-aktiviti yang menambah iman.

– Teruskan mentadabbur al-Quran, menghayati maknanya dengan mengimplementasikan isi kandungannya dalam kehidupan seharian kita.

– Jemputlah tetamu untuk iftar dan penuhi jemputan iftar.

– Berakhlaklah dengan akhlak mulia, akhlak yang diredhai.

– Bersedekah, bertasbih, beristighfar….. (dan senarai ini berterusan).

Marilah kita terus menghidupkan hari-hari terakhir Ramadhan di Newcastle. Teruskan ‘ihya ramadhan agar di penghujung nanti,

kita terus menjadi hamba Ar-Rahman, bukan hamba sang Ramadhan.

-Salam ihya’ ramadhan-

Advertisements

Lalu musim pun berubah

August 28, 2009

ShareIslam_Ramadan_03_800x600

Bismillahirrahmanirrahim~

7 Ramadhan 1430, 28 Ogos 2009, Jumaat.

Hari Jumaat, penghulu segala hari. Hari ini juga Ramadhan sudah menemani kita selama tujuh hari.

Datangnya hanya sepurnama. Lalu, apa khabar wahai warga newcastle sekalian?

Terubatkah sedikit rindu berjauhan hampir setahun?

Wajahnya tidak kelihatan, namun belaian mesranya,  dapat kita rasakan.

Lantas mengukuhkan keinginan hati, mencari redha Ilahi.

Istimewakah ramadhan di hati kita?

Wajah Rasul S.A.W berukir ceria, tanda gembira dan teruja.

Para sahabat dapat merasai keseronokan hati Rasulullah S.A.W.

Suara baginda S.A.W penuh semangat memperkenalkan tetamu jauh…

hadith ramadhan

Dari Salman Al-Farisi r.a berkata : ‘Rasulullah S.A.W berkhutbah pada hari terakhir bulan Sya’aban :

Wahai manusia, telah datang kepada kalian bulan yang agung, bulan penuh berkah, di dalamnya ada malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Allah menjadikan puasanya wajib dan qiyamullailnya sunnah.

Siapa yang mendekatkan diri dengan kebaikan, maka seperti mendekatkan diri dengan kewajiban di bulan lain. Siapa yang melaksanakan kewajiban, maka seperti melaksanakan 70 kewajiban di bulan yang lain.

Ramadhan ialah bulan kesabaran, dan kesabaran balasannya adalah syurga.

Bulan soladiritas (kesatuan) dan bulan ditambahkan rezeki bagi orang yang beriman.

Siapa yang memberi makan orang berpuasa, maka diampuni dosanya dan dibebaskan dari api neraka dan mendapatkan pahala seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun.

Kami berkata : “Wahai Rasulullah S.A.W, tidak semua orang dapat memberi makan orang yang berpuasa?”

Rasulullah S.A.W bersabda : “Allah memberi pahala kepada orang yang memberi buka puasa walaupun dengan satu biji kurma, atau seteguk air atau  susu.

Ramadhan ialah bulan di mana awalnya rahmat, tengahnya maghfirah dan akhirnya pembebasan dari api neraka.

Siapa yang meringankan orang yang dimilikinya, maka Allah akan mengampuninya dan dibebaskan dari api neraka.

Perbanyaklah melakukan 4 perkara : dua perkara membuat Allah redha dan dua perkara Allah tidak butuh dengannya.

Dua hal itu ialah : Syahadat Laa Ilaaha Illallah dan beristighfar kepada-Nya.

Adapun dua perkara yang Allah tidak butuh ialah engkau meminta syurga dan berlindung dari api neraka.

Siapa yang membuat kenyang orang berpuasa, Allah akan memberi minum daripada telagaku (Rasulullah S.A.W) satu kali minuman yang tidak akan pernah haus sampai masuk syurga.

(Hadith riwayat al-‘Uqaili, Ibnu Huzaimah, al-Baihaqi, al-Khatib dan  al- Asbahani.)

Masya Allah, bukan calang-calang tetamu kita kali ini.

Datangnya membawa kewajiban ibadah puasa buat hamba yang menyerah diri kepada Ilahi.

Puasa diwajibkan dengan misi membina insan berjiwa hamba,mendidik nafsu agar mudah dilentur mengikut syariat.

************************************~.:.~.:.~**********************************************

Pakej ramadhan

Apa lagi pakej tawaran Allah yang tersemat dalam bulan penuh barakah ini?

Musuh ketat kita yang tidak pernah letih membisikkan seribu kelalaian mahupun kejahatan dibelenggu dan dirantai.

Jika liat beribadah, siapa lagi yang boleh dipersalahkan?, keluh hati.

Itu bukti nafsu yang sebenarnya bermaharajalela, setelah setia menjadi pengikut si syaitan, kini tibalah masanya nafsu bertakhta.

Dibiarkan segala jenis virus kejahilan dan kemalasan membiak, lantas menyerang tiap sudut hati.

Lalu yang Maha Pengasih menghadiahkan bulan yang penuh rahmat ini buat kita, untuk merawat dan menjana semula sel-sel hati yang mati dan mereput.

Malamnya, yang Maha Agung memberikan pula kita ibadah istimewa, yang hanya dapat dijumpai dalam pakej bulan ramadhan.

Solat sunat tarawikh, sunnat yang dituntut untuk kita menunaikannya, memberi peluang kepada kita merebut sebanyak mungkin pemberian-Nya.

Ibadah puasa dan solat di bulan ini, apabila dilakukan kerana iman dan ikhlas, diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu. (Hadith riwayat Bukhari). Lalu, apa lagi yang kita nanti-nantikan?

Ramadhan ialah sekolah yang dapat mendidik jiwa meneladeni erti hamba, hamba Al-Khaliq. Lalu, terimalah pakej kedatangan ramadhan ini dengan penuh semangat kental, agar di majlis graduasi nanti, kita mempertemukan diri kita yang sebenar.

Akhir kalam, teruskan berlumba-lumba menuju kecemerlangan ibadah.

The Race to Ace.

Iftar Jamaie

August 22, 2009

JoM RaMai2!

JoM RaMai2!

Kempen Penghayatan Ramadhan 1430/2009 – فاسْتَبُِقوْا اْلخَيْرَات :: The Race to Ace

August 20, 2009

KEMPEN RAMADHAN copy

Hati ini berderbar-debar, telingaku seolah-olah dapat mendengar setiap degupan jantungku yang kencang memukul-mukul dadaku dari dalam. Mengetuk-ngetuk dadaku seperti Allah mengetuk hati-hati manusia yang masih tidak sedar-sedar akan hakikat kehidupan walau seribu penjelasan diberi, diulang dan diulang dalam kitab-Nya yang suci.

Hatiku ini seolah-olah menjerit, mengingatkanku akan realiti ketibaan tetamu yang sangat-sangat ditunggu oleh ramai umat Islam di seluruh dunia. Satu tetamu yang sungguh dirindui oleh bukan calang-calang manusia, tetapi, Ar-rasul itu sendiri, sahabat-sahabat baginda sallahu ‘alaihu wasallam, dan juga manusia-manusia hebat lain yang seringkali lidah ini mengaku menjadi ikon dalam hidupnya, tetapi amat sedikit amalan dan akhlaq ini menggambarkan pengakuan tersebut. Hipokrit.

Tetamu ini membawa begitu banyak hadiah dan ganjaran yang sangat sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk material dunia hari ini, penganugerahan khas buat mereka yang menyambut dan melayannya dengan penuh ikhlas dan taqwa. Hanya jiwa dan aqal yang sihat sahaja yang dapat mengerti hakikat keistimewaan dan keberkatan yang datang bersama-sama dengan tetamu ini.

Rasulullah sehingga mengajarkan doa kepada kita supaya dapat ditemukan dengan tetamu ini setiap tahun. Para sahabat sudah pun melakukan persiapan untuk menyambut tetamu ini 6 bulan sebelum ketibaannya. Bukti-bukti sirah yang menceritakan betapa tingginya nilai tetamu ini kepada umat Muhammad. Teringat ketika solat terawikh pada malam pertama tetamu ini tiba beberapa tahun yang lepas di masjid Newcastle, disebabkan terharunya imam pada waktu itu kerana dizinkan Allah subhanahu wata’ala untuk bertemu dengan tetamu ini, teresak-esak sampai tidak mampu untuk membaca walau al-fatihah sekali pun, terlalu gembira.

Hatiku sekali lagi bergoncang. Bukan melonjak kegembiraan, malah sebaliknya. Hatiku seperti berteriak memanggil-manggil empunya diri, “Mengapa engkau masih tidak sedar yang Ramadhan hampir tiba? Mengapa engkau masih tidak rasa apa-apa, malah jauh sekali daripada untuk membuat sebarang persiapan untuk menyambut tetamu ini? Samakah effortmu dengan pengakuan lidahmu tentang tingginya nilai Ramadhan ini? Adakah engkau mendengar? Adakah Allah sudah pun menutupku darimu? Adakah Allah sudah pun menyumbatkan telingamu daripada mendengar tangisan kecilku ini? Hello?” soal hati yang sentiasa teguh dengan lumrah…..

Assalamualaikum wbt rakan-rakan sekalian. Minta maaf dgn intro yang agak panjang di atas ^_^. Bagi menyambut kedatangan tetamu yang bernama Ramadhan dan juga sebagai perancangan untuk melayan tetamu kita yang sangat-sangat dirindui ini, Insya Allah FAMSY-NUIMS akan mengadakan kempen penghayatan Ramadhan. Apa yang kita dah prepare untuk bulan ini mungkin tidak signifikan untuk ditanya jika hati ini masih lagi tidak merasai kehangatan Ramadhan itu sendiri. Namun, insya Allah kempen ini diharap dapat memberi semua warga muslim novocastrians, terutamanya komuniti kecil Malaysia, semangat untuk berlumba-lumba merasai kehangatan tersebut, dan supaya Ramadhan kali ini tidak berlalu pergi dengan penuh penyesalan, sesuai dengan temanya: Fastabiqul Khoirat – The Race to Ace. Berikut adalah sedikit maklumat tentang kempen ini dan insya Allah kita akan adakan disukusi khas untuk kempen penghayatan Ramadhan pada malam 1 Ramadhan 1430 (Malam Ukhuwwah Nite Pertama) di 35 Fussell (brothers) dan Jesmond Hall (sisters):

Kempen Penghayatan Ramadhan 2009

Tema: فاسْتَبُِقوْا اْلخَيْرَات – The Race to Ace

Matlamat utama bulan Ramadhan: Mendekatkan lagi hati dan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan

Objektif Kempen: Mencapai matlamat utama bulan Ramadhan dengan:

1.Menaikkan semangat untuk beramal dan berlumba-lumba dalam melakukan kebajikan dalam bulan yang mulia ini
2.Mewujudkan bi’ah solehah yang melahirkan suasana beramal sepanjang bulan Ramdhan dengan istiqamah/konsisten
3.Menghiasi/memenuhkan Ramadhan dengan amal setiap individu Muslim

Anjuran: FAMSY-NUIMS

Framework:
1.Individu Muslim
2.Baitul/rumahtangga Muslim
3.Komuniti Muslim

Wadah/platform rasmi:
1.Blog Ramadhan Newcastle – https://ramadanewcastle.wordpress.com
2.Kempen Aku Peduli – http://akupeduli.org/blog/

Akhir bicara, marilah beramal kerana-Nya, bukan kerana Ramadhan. Hanya Dia yang kekal dan Ramadhan tetap akan pergi.

Selamat menyambut Ramadhan ^_^
::FAMSY-NUIMS::

Sehari semakin mendekati

August 20, 2009

Bismillahirrahmanirrahim~

30 Sya’aban 1430, 21 Ogos 2009

masjid bulan

Assalamualaikum w.b.t

Kaifa halukum? Apa khabar wahai saudara saudari sekalian?

Beberapa jam sahaja lagi. Terdengarkah panggilannya? Bersediakah kita?

Tetamu bakal tiba. Persinggahannya hanya seketika, sekejap cuma.

Tertanya-tanyakah kita, apa yang bakal menanti sepanjang sebulan di bulan mulia nanti?

Lebih menariknya, tanyakan diri kita, apa yang bakal kita sediakan untuk menghadapi bulan yang datangnya hanya sekali dalam setahun, namun kesannya mampu melahirkan manusia-manusia berjiwa kental mengharungi samudera kehidupan.

Sebagai permulaan, mungkin boleh dibuat sebuah jadual untuk diisi sepanjang ramadhan :

Jadual ramadhan

Cuba penuhi jadual tersebut dengan aktiviti membina jiwa dan iman sepanjang bulan mulia nanti.

Seterusnya, berlumba-lumbalah berbuat kebaikan sepanjang bulan penuh barakah ini kerana kesempatan yang bakal tiba belum pasti dapat kita rasai tahun hadapan.

Anjuran berlumba-lumba dalam berbuat amal soleh bukanlah satu suruhan ustazah sekolah mahupun arahan senior-senior, bukan juga pandangan para pensyarah kita di universiti, namun lebih besar dan lebih agung daripada semuanya…. anjuran Pemilik Alam ini, Pemilik kita yang sebenar-benarnya, Ar-Rahman, Ar-Rahim.

Memetik firman Allah dalam surah Al-Baqarah :

surah baqarah

Maka, saranan yang manakah yang lebih hebat daripada saranan Pemegang takdir, Penentu pahala dan dosa kita?

Mari kita bersama-sama bersedia di garisan permulaan. Kejapkan niat di hati, kukuhkan jiwa agar tidak digugah oleh pujuk rayu nafsu. Ayuh warga Newcastle, kita meriahkan sambutan ramadhan dengan amalan-amalan soleh lagi diredhai~!

Fastabiqul khairat – The Race to Ace

**************************************~.:.~************************************

21 Ogos ini, manusia menghitung beberapa jam kedatangan ramadhan.

21 ogos ini, lagi 10 hari sambutan kemerdekaan negara.

21 Ogos ini…, selain kedatangan tetamu yang dinanti-nanti, inilah hari peringatan, ‘Remembrance of Al-Quds’.

al_aqsa_mosque_dome

Tahukah  kita pada sejarah hitam 21 Ogos 1969? Pembakaran masjid al-Aqsa oleh seorang lelaki Australia, melakukan dosa membakar mimbar Solahudin sehingga membawa kepada tertubuhnya OIC? Saat itu kita semua bersatu, ramai yang peduli.

Kisah Palestin bukan hanya sebuah kisah dongengan kemanusiaan, bahkan Palestin ialah bukti kekuasaan Allah, bahawa mereka yang terpilih sahaja yang mampu mempertahankan sebuah tempat suci. Mereka berjuang jiwa dan raga, harta dan maruah demi mempertahankan bumi Anbiya’,  bumi Isra’ dan Mikraj.

Bukan calang-calang manusia akan disebut-sebut oleh seorang presiden yang menerajui kepimpinan sesebuah negara. Apatah lagi, bukan calang-calang hamba mahupun tempat yang disebut-sebut dan telah termaktub di dalam kalamullah melainkan merupakan sesuatu yang mulia.

Lalu, haruskah kita hanya  melihat dan memerhati? Bulan ini bulan kemuliaan, rebutlah kehadirannya dengan berlumba-lumba menyumbang untuk pembebasan bumi suci itu. Sumbangan doa, wang, harta, tenaga, bakat dan sebagainya akan mewarnai kehidupan kita sebagai hamba yang mahukan keredhaan-Nya.

Fastabiqul khairat -The Race to Ace

Palestin perlu kita kenali dan sematkan di hati, kerana itu bumi dan tanah air kita. Palestin bukan sekadar sekeping tanah, bahkan menifestasi perjuangan mereka yang yakin kepada janji-janji Allah.

Salam perjuangan penuh pengharapan,
team ramadhan 1430/2009

Esok yang mendatang

August 19, 2009

sunrise_wallpaper-1152x864Bismillahirrahmanirrahim~

28 Safar 1430,  19 Ogos 2009, Rabu.

Desir angin tidak mampu membuai resah di dada sebahagian kita.

Ada yang debarannya semakin menggoncang dengan tiap detik yang berlalu.

Kerlingan si mentari dengan hangat musim dingin yang semakin mencair, terus menyalakan harapan hati mereka yang berjiwa hamba.

Sang kakak tua putih masih setia melontarkan bunyi tatkala petang merangkak datang.

Begitu juga sebahagian kita, terus melalui rutin kehidupan umpama sebuah robot.

Bulan kelmarin, bulan semalam,bulan ini…samakah?

Apakah yang bakal berbeza kali ini?

Musim bakal berganti, bagaimana kita masih terus statik?

Adakah sesuatu yang lain bakal kita tempuhi musim ini?

Istimewanya penghujung musim dingin 2009, kerana ditemani dengan sebuah kehebatan.

Keistimewaan yang lahir rentetan kehadiran sesuatu yang bermakna… kedatangan tamu jauh.

~*Tamu jauh*~

Terimalah kedatangan tamu jauh ini wahai saudara-saudaraku dengan sebesar hati,kerana hadirnya membawa seribu erti buat yang mengetahui.

Panggilah ramadhan dengan mendayu, agar kita tidak jemu.

Reguklah kemanisannya, seribu keberkatannya agar kita disayangi Yang Maha Pemberi.

Tempuhilah madrasah ramadhan dengan sekuat jiwa agar kita tidak kecundang walau sang syaitan dibelenggu.

Jangan dibiarkan pemegang saham bermaharajalela, komrad sang syaitan yang setia, si nafsu.

Rasakan gegarannya tahun ini.

Ahlan ya ramadhan~!!!

P/s : Sematkan azam dalam diri bahawa kita hamba ar-Rahman, bukannya hamba sang ramadhan (i.e Abdar Rahman, wa la Abdar Ramadhan).

Let Us Welcome Ramadhan 2008

August 28, 2008


Assalamualaikum wbt respected bloggers,

Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa,

”Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.”

“ Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

(Riwayat Ahmad dan Tabrani)

Salam Taqwa,

Team Kempen Penghayatan Ramadhan 2008.